
Apabila membaca tulisan Bigdog bertajuk, "PM ‘Flip-Flop’ Abdullah tidak menghadiri pengkebumian Pak Harto", Husin berasa amat malu dan segan sekali kepada negara jiran dan rakyat Indonesia.
Secara tidak langsung, Husin pun ada akar umbi di sana. Siapa tidak? Orang Melayu semua adalah sebahagian satu bangsa dan satu gagasan Nusantara Melayu.
Indonesia adalah negara jiran kita yang terdekat dan apatah lagi kita serumpun. Mungkin Suharto bukan lagi President, dia juga bukan lagi berkuasa, namun dia masih diberi penghormatan rasmi oleh negaranya sendiri. Walaupun jika banyak kesalahannya sekali pun hingga tidak ada jasa langsung, siapakah PM kita untuk menghukumnya?
Majlis sebegini adalah peluang untuk mengambil hati dan mendekatkan balik perhubungan antara kita yang sudah renggang, akibat tidak tanduk pentadbir-pentadbir dan rakyat kita terhadap rakyat mereka yang berziarah dan mencari rezeki di sini.
Jasa Suharto banyak sekali kepada Malaysia.
Semasa Suharto menjadi Ketua Tentera Indonesia pada tahun 1970an, dia telah terlibat memberhentikan Konfrantasi dengan Malaysia. Bagi anak-anak yang tidak tahu, kita pernah perang dengan askar-askar Indonesia yang telah memasuki negara kerana menentang penubuhan Malaysia.
Demi keamanan serantau, Suharto terpaksa melakukan rampasan kuasa dengan menggulingkan Presidentnya sendiri yang begitu karismatik dan disayangi ramai, Sukarno. Pada masa itu, Sukarno amat dipengaruhi oleh Komunis.
Pah Harto dan Allahyarham Tun Abdul Razak adalah dua tokoh utama yang membuahkan ide Asean dan membawa konsep ZOPFAN (Zone of Prosperity Freedom and Neutrality) sebagai strategi menahan limpahan peperangan dingin Amerika-Rusia. Keamanan yang kita kecapi adalah hasil usahanya.
Ramai mungkin mahu hanya mahu menyalahkan Suharto kerana kezaliman dan pembunuhan ratusan ribu dan mungkin jutaan rakyatnya. Ramai juga menuduh beliau korup dan melibatkan kroni dan keluarganya. Namun, Husin kesal melihat Suharto jatuh dan negara menjadi tidak aman selepas IMF membawa pangaruhnya ke dalam Indonesia. Malaysia hampir jadi demikian.
Suatu yang harus kita fahami adalah semasa Sukarno memerintah, ramai rakyatnya melarat dan kebuluran. Suharto telah membawa pertumbuhan ekonomi.
Indonesia bukan suatu negara yang mudah untuk diurus. Ia mempunyai ratusan kumpulan etnik, ribuan pulau-pulau dan kawasan yang amat luas sekali mengharungi laut dan lautan. Sudah tentu ada pelbagai usaha pemberontakkan dan tindakan bersenjata dari puak-puak pemisah. Ingat lagikah Timor Timor?
Kadang-kadang cara diplomasi boleh membawa penyelesaian dan adakala perlu tindakan ketenteraan. Maka, sudah pastinya akan ada ketelanjuran dengan cara ketenteraan. Orang Indonesia memang terkenal sebagai orang-orang yang kuat, lasak dan berani.
Jika salah caranya sekalipun, semangat Asean adalah tidak mencampuri hal ehwal dalaman negara itu. Apabila itu polisi yang diambil, kuasa luar susah untuk masuk campur.
Sebagai Ketua Negara, adalah menjadi tanggungjawab Suharto untuk memastikan negaranya tidak berpecah dan sempadannya masih satu.
Husin Lempoyang amat kesal dan hairan mengapa PM Abdullah Badawi yang sudah pulang dari Davos malam semalam tidak pergi membuat lawatan hormat keesokkannya (semalam). Dilihat dalam TV, PM Singapura Brig. Gen. Lee Hsien Loong dan Sultan Brunei ada menghadhiri. Bukankah mereka juga baru balik dari Davos?
PM hanya melawat Kedutaan di sini dengan Menlu Dato Syed Hamid. Kenapa Syed Hamid tidak ke sana? Kenapa PM perlu menghantar wakil dan banyak pulak itu? Bukankah cukup setakat Dato Seri Najib seorang sudah cukup? Apa perlunya dihantar Musang Hitam, Zam dan seorang pegawai tinggi tentera?
Apa yang dibuat selama 9 tahun dari 1991-2000 menjadi Menteri Luar Negara? Tidak fahamkah perjalanan protokol? Atau tidor semasa taklimat?

Mungkin dia takut setelah merepek dan menjajar dalam Interview dengan CNN dari Davos.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan